Hari berganti hari, siang berganti malam tanpa kita sedari Ramadan
sekali lagi menemui kita. Ahlan wasahlan ya Ramadan, kami merindui
kehadiranmu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu,
dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu
lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu
bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah
kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara
itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk)
daripada Allah." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Marilah kita sama-sama merafa'kan kesyukuran kerana dengan rahmat
dan kasih sayangnya kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan
bulan yang penuh dengan rahmat keampunan dan pelepasan dari azab
api neraka, bulan yang tinggi dan kedudukannya di sisi Allah dan
Rasul-Nya.
Bagi melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga ini, penghayatan
yang lebih baik perlu dipertingkatkan bagi mengisi bulan yang
barakah ini. Puasa yang dilaksanakan biarlah lebih baik dari tahun
yang sebelumnya. Sebenarnya Ramadan yang kita cintai ini tersirat
satu azam yang perlu kita tunaikan, iaitu azam untuk menjadikan
amal ibadah atau pekerjaan harian kita pada tahun ini lebih
bermutu. Tetapi sayangnya masyarakat kita tidak memandang apa yang
tersirat ini, sebaliknya azam atau niat yang baru hanya difokuskan
pada awal tahun Masihi sebagai titik permulaan untuk memulakan azam
baru.
Ramadan memberikan ruang perancangan yang luas untuk kita
menetapkan matlamat, memperincikan amal ibadah yang ingin kita
laksanakan agar ibadah dan tugasan harian yang dilakukan dalam
bulan ini lebih tersusun dan konsisten dalam pelaksanaannya. Bukan
sekadar melaksanakannya tanpa perancangan. Ramadan yang diberkati
ini hanyalah sekali sahaja dalam setahun. Maka sudah tentu
pengisiannya perlu dihayati dari pelbagai aspek supaya ibadah
puasa, solat terawih, membaca al-Quran akan lebih baik dan sempurna.
Satu perkara yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya
agar berhati-hati supaya tidak dikategorikan di kalangan orang yang
ditolak puasa mereka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud:
"Berapa ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada
puasanya melainkan lapar dan dahaga"
(Hadis riwayat An-Nasai)
Golongan yang ditolak puasa mereka ini ialah golongan yang tidak
bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah ini. Mereka hanya
beranggapan Ramadan hanya bulan yang biasa dan puasa yang dilakukan
hanyalah sebagai menutup malu kepada masyarakat sekeliling. Ada juga
di kalangan kita yang hanya menghayati puasa dengan menjadikannya
pesta untuk merasa pelbagai jenis juadah di bazar Ramadan dan
mebeli belah semata. semua ini bukanlah salah tetapi janganlah
aktivit-aktiviti ini mencuri masa kita beribadah kepada Allah
lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.
Lantaran itulah pengisian Ramadan perlu dirancang, agar amal ibadah
yang dilakukan adalah ibadah yang berkualiti dan diberikan ganjaran
yang besar di sisi Allah. Semoga Ramadan kali ini mampu membawa
perubahan yang positif kepada kehidupan kita.
Gunung Senyum 20 gua
17 years ago

No comments:
Post a Comment